TUDM dedahkan identiti keempat-empat anggotanya yang terbunuh

Kenderaan polis yang membawa mayat anggota TUDM terbabit tiba di rumah mayat Hospital Umum Sarawak.

KOTA SAMARAHAN, 13 Ogos: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendedahkan nama empat anggota mereka yang terbunuh dalam kejadian tembakan di Skuadron 330, di sini hari ini.

Anggota TUDM berkenaan ialah Koperal Udara Mohammad Ehsan Sehamat, Koperal Udara Ho Swee Boon dan Laskar Udara Kanan Nesly Anak Nabau yang meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli meninggal dunia di Hospital Jantung Kota Samarahan.


Katanya lagi Allahyarham Mohammad Ehsan Sehamat berasal dari Asajaya Laut, Samarahan; mendiang Ho Swee Boon berasal dari Lundu; allahyarham Sharif Mohd Siddiq Al- Attas Wan Sabli berasal dari Siniawan, Bau dan Mendiang Nesly Nabau berasal dari Sibu.

“Kesemua mereka yang meninggal dunia berasal dari Sarawak dan telah berkahwin,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Perhubungan Awam TUDM.

Sementar itu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Hj Abdul Samad turuk ke lokasi kejadian untuk mengetahui dan meninjau dengan lebih jelas kejadian insiden berkenaan.

Beliau selain itu turut menyantuni dan bertemu dengan waris-waris anggota di Pergerakan Udara Pangkalan Udara Kuching serta menzahirkan ucapan takziah kepada balu dan keluarga kesemua anggota TUDM yang meninggal dunia.

“Beliau turut menyampaikan sumbangan dari Tabung Kebajikan TUDM dan sumbangan bantuan kebajikan kepada waris terlibat.

“TUDM juga sedang membuat segala urusan berkaitan pengebumian jenazah dan urusan kebajikan kepada waris anggota,” katanya.

Pihak TUDM telahpun menyerahkan kes berkenaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan.

“TUDM mohon agar semua pihak tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan oleh pihak PDRM selesai di samping menghormati sensitiviti waris dan keluarga anggota yang meninggal dunia,” katanya. — DayakDaily