Anggota TUDM ditembak di perut, pandu sendiri dapatkan bantuan

Kenderaan polis yang membawa mayat anggota TUDM terbabit tiba di rumah mayat Hospital Umum Sarawak.

KOTA SAMARAHAN, 13 Ogos: Seorang daripada empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam kejadian tembak di Skuadron 330 TUDM di sini, memandu keretanya sendiri untuk mendapatkan bantuan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail dalam satu kenyataan memberitahu mangsa mengalami kecederaan di perut akibat terkena tembakan dan sempat mendapatkan bantuan di klinik di dalam kem tersebut.

“Mangsa yang cedera parah sempat memandu kenderaan sendiri mendapat rawatan di klinik tentera dalam kem berkenaan.


“Mangsa yang cedera di bahagian perut dan kritikal meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Jantung Kota Samarahan,” katanya dipetik.

Menurutnya, kejadian berlaku di Balai Pengawal Flait 232 HANDAU sekitar jam 7.15 pagi.

Katanya, semasa kejadian seorang daripada suspek dikatakan tiba-tiba bertindak menembak tiga rakan sekerjanya.

“Dia kemudian turut menembak dirinya sendiri,” katanya.

Tiga anggota TUDM termasuk suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Lukas Aket berkata Punca dan motif kejadian masih dalam siasatan.

“Siasatan sedang dijalankan dan pihak PDRM menggesa orang ramai tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai,” katanya.

Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.— DayakDaily

Kenderaan polis yang membawa mayat anggota TUDM terbabit tiba di rumah mayat Hospital Umum Sarawak.