TTPRS arah 2 pemaju perumahan bayar ganti rugi berjumlah RM131,441.64

Trabawan(dua dari kanan) meneliti fakta kes bersama ahli-ahli panel TTPRS yang lain.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 27 JAN: Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Sarawak (TTPRS) hari ini mengarahkan dua syarikat pemaju perumahan di sini masing-masing membayar ganti rugi berjumlah RM110, 070.54 dan RM21,371.10 kepada enam pembeli atas kelewatan menyerahkan rumah.

Presiden TTPRS Trabawan Mandi berkata, keputusan dibuat setelah mendapati kedua-dua pemaju tersebut gagal untuk menyerahkan rumah kepada pembeli pada jangka masa yang ditetapkan.


“Kedua-dua syarikat pemaju perlu membuat bayaran dalam tempoh 45 hari selepas mendapat surat penghakiman daripada tribunal,’katanya pada sidang media selesai penghakiman kes di Mahkamah TTPRS hari ini.

Pada penghakiman itu, syarikat pemaju pertama diarah untuk membayar RM110,070.54 kepada empat pembeli iaitu,Hwong Hoe Hing dan Ding Chiu Eng, Awang Zaidi Awang Narawi, Syarifah Nor Farah Syed Alwi, dan Laurence Chai.

Manakala satu lagi syarikat pemaju diarahkan untuk membayar sebanyak RM21,371.10 kepada dua pembeli iaitu Chan Fong Shiew bersama Chan Kuok Keung dan Jong Kian Chiong, Mok Ai Lin dan Jong Chai Khim.

Dalam pada itu, Trabawan turut berkata bahawa, penghakiman TTPRS kini mengikut keputusan daripada Mahkamah Persekutuan yang membenarkan tuntutan dikira dari tarikh bayaran tempahan dan bukan dari tarikh perjanjian jual beli.

Katanya, ia berpandukan Peraturan Empat Akta Covid-19 (829) yang tidak membenarkan pembeli untuk membuat tuntutan Gantirugi Jumlah Tertentu (LAD) dari 18 Mac hingga 1 Jun 2020.

“Mana-mana tuntutan yang dilakukan pada tarikh tersebut, kita akan tolak 166 hari yang dikecualikan mengikut peraturan yang telah diwartakan.

“Bagi mana-mana pemaju yang mahu lanjutan untuk tempoh hari tuntutan ke atas mereka untuk dikecualikan sehingga 31 Disember, mereka harus membuat permohonan bertulis kepada kementerian,” ujar
beliau.-DayakDaily