Tiga lokasi dikenalpasti untuk bina depoh tahanan sementara baharu di Sarawak

Kelihatan Mohamad Morshidi ketika sidang media Ops Jala di Bangunan Baitulmakmur II, Petrajaya, Kuching hari ini (27 Jan 2021).

KUCHING, 27 Jan: Tiga lokasi telah dikenalpasti oleh kerajaan Sarawak untuk membina tiga buah lagi Depoh Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) di negeri itu

Timbalan Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri, Datuk Mohamad Morshidi Mustapha berkata, tiga lokasi tersebut di Kuching, Sibu dan Miri.

Katanya, kerajaan Sarawak sedia membantu untuk membina depoh tahan tersebut dan telahpun mengenalpasti beberpa lokasi yang telah diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi dijadikan depoh tahanan sementara tersebut.


“Sekarang ini kita (Sarawak) ada dua depoh tahanan sementara iaitu satu di Semuja, Serian dan satu di Bekenu, Miri dan setakat ini bagi menampung pusat tahanan Pati yang lain sebab itu kerajaan Sarawak telah mengenalpasti tiga tempat di Kuching, Sibu dan Miri untuk dijadikan pusat tahanan sementara tersebut,” katanya pada sidang media Ops Jala di Bangunan Baitulmakmur II, Petrajaya di sini hari ini.

Beliau berkata sejak Ops Jala dilancarkan pada 20 Januari lalu, seramai 58 Pati telah ditahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Katanya, kesemua Pati tersebut yang berasal dari Indonesia kini ditahan di pusat kuarantin sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakkan lanjut dan akan didakwa dibawah Akta Imigresen 1956/63.

“Kita telahpun melakukan ujian calitan Covid-19 pertama kepada kesemua pati ini dan keputusanya ujian calitan tersebut adalah negatif.

“Justeru, kita masih lagi menunggu untuk melakukan ujian calitan Covid-19 kedua ke atas semua Pati ini dan berharap keputusan ujian calitan itu juga negatif sebelum kita serahkan mereka kepada Jabatan Imigresen untuk tindakkan seterusnya,” katanya

Mohamad Morshidi berkata, sehingga kini sebanyak 22 tapak pembinaan serta 14 kopitiam telah diperiksa dalam operasi yang dilakukan di sekitar bandar Kuching dengan seramai 1,293 orang termasuk warga tempatan dan asing telah diperiksa.

katanya, fokus operasi tersebut adalah untuk membendung penularan jangkitan Covid-19 khususnya melibatkan warga asing susulan terdapat peningkatan kadar jangkitan wabak berkenaan melibat warga asing.

“Ops Jala ini dirancang oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) khas untuk menangani penularan Covid-19 yang berkait rapat dengan Pati.

“Ketika ini operasi ditumpukan di sekitar bahagian Kuching dan akan dilaksanakan secara berterusan serta akan diperluas ke bahagian lain di seluruh Sarawak,” katanya. — DayakDaily