TTPRS: Pemaju diarah bina semula pagar jeriji 10 buah rumah

Robert (tengah) pada sidang media di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, MAC 10: Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Sarawak (TTPRS) hari ini mengarahkan sebuah syarikat pemaju tempatan membina semula pagar jeriji di 10 buah rumah di Taman Samarindah, Kota Samarahan.

Keputusan itu dibuat Presiden TTPRS, Robert Elone Sireng setelah mendengar kes tuntutan yang difailkan 10 pembeli rumah di perumahan tersebut.


“Tribunal telah menerima aduan dari 10 pembeli untuk menggantikan pagar dawai kepada pagar jeriji.

“Berdasarkan dokumen Perjanjian Jual Beli, kita dapati tuntutan mereka sah.

“Pemaju telah gagal membina pagar mengikut spesifikasi,” katanya pada sidang media selesai penghakiman.

Pada penghakiman itu juga, TTPRS turut mengarahkan pemaju yang sama membayar RM2,884.44 ganti rugi kepada seorang pembeli atas kelewatan menyerahkan rumah milik mereka.

Kata Robert, tribunal dan wakil pemaju setuju ada kelewatan menyerahkan rumah sebagaimana tuntutan pembeli.

“Mengikut perjanjian, rumah sepatutnya diserahkan pada 16 Mac 2018, tetapi hanya diserahkan pada 25 Julai 2018.

“Tempoh kelewatan ialah 129 hari dan pemaju telah diarahkan membayar pembeli RM2,884.44 dalam tempoh 30 hari.

Pada tribunal itu, Robert bersidang bersama dua ahli panel iaitu Alhadi Ibrahim dan Simon Woon Ta Meng.—DayakDaily