KUCHING, Jun 12: Klip video lucah mengaitkan seorang pimpinan tertinggi parti dan kerajaan yang tersebar sejak semalam adalah permainan politik kotor.
Menurut Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin permainan politik kotor ini sangat menjengkelkan.
“Pada saat rakyat dan kerajaan sedang bergelut bagi memulihkan keadaan ekonomi negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat, permainan politik kotor ini sangat menjengkelkan dan membantutkan usaha pembinaan semula Malaysia Baru,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan tetap yakin pada kredibiliti, integriti dan personaliti pemimpin yang difitnah tersebut.
Keyakinan itu, ujar beliau, adalah berdasarkan latarbelakang penuduh yang ‘sangat meragukan’ dan diketahui mempunyai hubungan baik dengan pihak pembangkang.
“Sebarang konspirasi politik bagi membunuh karakter seperti ini harus dihentikan serta merta.
“Saya amat berharap agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan serta menghadapkan pesalah ke muka pengadilan,” katanya.
Awal pagi ini, seorang yang memperkenal diri sebagai Haziq Aziz membuat pengakuan bersumpah bahawa beliau merupakan individu yang melakukan seks sejenis di dalam klip video bersama seorang yang dikatakan menteri Kabinet and pemimpin kanan PKR.
Pengakuan ini dibuat Haziq menerusi video berdurasi 34 saat dan dimuatnaik menerusi laman Facebook pafa kira-kira pukul 2.30 pagi Rabu.
Video tersebut, menurut Haziq, diambil tanpa kebenaran beliau pada Mei 11 lepas semasa Pilihanraya Kecil Sandakan di salah sebuah bilik di sebuah hotel di Sabah.
Sementara itu Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Zakaria Abdul Hamid percaya fitnah jahat tersebut adalah konspirasi politik bagi menjatuhkan menteri Kabinet itu.
Katanya, konspirasi politik fitnah berulang sebagaimana Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menjadi mangsa 20 tahun yang lalu.
“Penyebaran video terbaharu ini dengan kaedah teknologi terkini penukaran imej adalah memualkan dan sekaligus cubaan jahat bagi mengaibkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) serta PKR.
“Kami mengajak semua warga Malaysia untuk bersatu melawan dan menolak budaya politik kotor dan jijik sebegini.
“Bertarunglah dengan ilmu dan hujah. Bersainglah dengan sihat dengan menawarkan idealisma masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini. — DayakDaily