Tokan dadah ditahan bersama pil-pil Ecstasy, Erimin

By Brad Rantayy

MIRI, 3 Julai: Seorang penganggur dipercayai ‘tokan’ dadah dicekup polis semalam di sebuah rumah di Siang Siang Garden, Luak Bay, Miri.

Menurut Ketua Polis Miri ACP Lim Meng Seah, lelaki tersebut yang berusia 47 tahun, telah cuba melontar sesuatu dari pagar belakang rumahnya selepas menyedari kehadiran pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Miri (IPD Miri).

“Semasa pemeriksaan, police menjumpai dadah berbagai jenis dengan berat kasar 479 gram dalam bekas yang dilontar suspek,” ujar Lim.

Antara dadah yang ditemui adalah enam paket plastik lutsinar berisi pil berwarna ungu setiap peket mengandungi 50 biji pil disyaki dadah jenis Ecstasy (300 biji, berat: 98 gram), lima paket plastik lutsinar berisi pil berwarna merah jambu setiap peket mengandungi 50 biji pil disyaki dadah jenis Ecstacy (250 biji atau 101 gram) dan 100 papan kerajang timah berwarna merah setiap papan mengandungi 10 pil yang disyaki dadah jenis Erimin 5 dan jumlah keseluruhan sebanyak 1000 biji atau 280 gram.

Suspek ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam serbuan jam 10.30 malam Khamis (2 Julai) itu, polis turut merampas wang tunai RM1,000 dan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dianggarkan bernilai RM30,000.

“Hasil siasatan lanjut, kita dapati suspek telah terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah lebih dari setahun,” kata Lim.—DayakDaily