Polis cekup dua pengedar dadah di Miri, rampas 3kg ganja

Ganja yang dirampas.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 16 Okt: Dua lelaki warga tempatan dipercayai pengedar dadah ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Miri dalam satu operasi pada tengah hari semalam berhadapan pejabat Pos Miri.

Hasil penahanan tersebut, polis menemui 3,000 gram (3kg) dipercayai ganja bernilai RM30,000 dari suspek masing-masing berusia 22 dan 23 tahun itu.


Menurut ketua polis daerah Miri ACP Lim Meng Seah dalam satu kenyataan media, penahanan itu dilakukan sekitar jam 12 tengah hari oleh sepasukan polis diketuai Inspektor Mohammed Basheer A G Sulaiman.

“Pada jam 12 tengahari, kedua-dua suspek telah ditahan berhadapan pejabat Pos Miri dan JSJN Miri telah merampas sebuah kotak berbalut plastik hitam yang mengandungi satu bungkusan ‘aluminium foil’ berisi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis Cannabis (ganja) dengan berat kasar 1,000 gram, hasil siasatan ke atas suspek.

“Suspek telah membawa pasukan polis ke sebuah rumah di Permyjaya Tudan, dan polis telah merampas satu lagi kotak berbalut plastik hitam yang mengandungi dua bungkusan ‘aluminium foil’ berisi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja berat kasar 2,000 gram,” ujar Lim.

Menurut Lim, kedua-dua suspek kemudian dibawa ke pejabat BSJND Miri untuk tindakan selanjutnya.

Kedua-dua suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39B akta Dadah Berbahaya 1952.

Saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati positif dadah jenis Cannabis.

“Oleh itu, kedua-dua suspek turut ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata Lim.

Suspek juga mempunyai kesalahan lampau berkaitan dadah. — DayakDaily