Tipu ubah suai meter elektrik, dua lelaki direman tiga hari

Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching.

KUCHING, Sept 19: Dua lelaki yang menyamar dan mengaku sebagai pekerja dari Perbadanan Bekalan Elektrik Sarawak (Sesco) dengan melakukan penipuan berkaitan penipuan bayaran denda bagi kesalahan mengubah suai meter elektrik sejak 2016 direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Sept 22 depan.

Sebelum itu, kedua-dua suspek yang berusia 46 dan 40 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 9 pagi.

Majistret Zubaidah Sharkawi kemudian memerintahkan kedua-dua suspek direman sehingga Sept 22 ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Kanun keseksaan tersebut memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut laporan polis, kedua-dua suspek berkenaan telah ditangkap polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil pada pukul 3.30 petang semalam hasil maklumat dan risikan yang dilakukan.

Sebelum itu, pada Julai 28, 2016, kedua-dua lelaki terbabit telah datang ke kediaman pengadu di Batu Tiga, Jalan Penrissen di sini dan menyatakan meter bacaan eletrik di rumah pengadu telah diubahsuai.

Kedua-dua lelaki itu mendakwa pengadu boleh dikenakan denda sebanyak RM80,000 jika sabit kesalahan.

Mereka kemudian memberitahu boleh menyelesaikan kes itu jika pengadu membuat bayaran sebanyak RM20,000.

Pengadu yang berasa takut kemudian bersetuju membayar RM15,000 kepada kedua-dua suspek bagi menyelesaikan kes tersebut.

Namun, apabila pengadu membuat semakan dengan pejabat Sesco, pengadu kemudian dimaklumkan bahawa syarikat berkenaan tidak pernah melantik mana-mana individu bagi perkara tersebut.

Akhirnya, selepas menyedari ditipu kedua-dua lelaki terbabit, pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. — DayakDaily