Tindakan tegas akan diambil terhadap penceroboh, pembalakan haram di tanah NCR

Hamden Mohammad

SELANGAU, 29 Jun: ​Tindakan tegas akan diambil terhadap penceroboh atau mana-mana individu yang melakukan pembalakkan haram di kawasan tanah-tanah NCR termasuk tindakan mahkamah.

Pengarah Hutan Sarawak Hamden Mohammad berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja ke Rh Jackson Ngumbang di Rantau Dangih, Sekuau, di Selangau, semalam.

“Dengan keluasan hutan yang amat luas dan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) hanya mempunyai seribu orang kakitangan, kita memerlukan pemilik-pemilik tanah NCR bersama-sama kita menjaga hutan tersebut.


“Jika terdapat pencerobohan atau penebangan balak secara haram di kawasan masing-masing, mereka haruslah segera melaporkan perkara tersebut ke JHS,” kata beliau.

Beliau menambah, banyak tangkapan yang telah dibuat melalui maklumat yang telah diberikan oleh pemilik-pemilik tanah NCR sendiri.

Hamden berkate negeri Sarawak meliputi 63 peratus kawasan berhutan dengan keluasan 7.9 juta hektar. Selain itu, dari kawasan tersebut adalah kebanyakkannya adalah tanah-tanah NCR yang masih mempunyai banyak pokok-pokok hutan.

“Kami di Jabatan Hutan memproses setiap permohonan lesen (OT). Antara syarat-syarat penting dalam pengeluaran lesen tersebut adalah mesti mendapat persetujuan daripada pemilik-pemilik tanah NCR tersebut dengan pengesahan dari penghulu dan pegawai daerah dari kawasan tersebut.

“Tanpa persetujuan dari pemilik tanah lesen tidak akan dikeluarkan. Walaupun lesen OT telah dikeluarkan, pihak jabatan boleh menarik balik lesen tersebut jika terdapat aduan dari pemilik-pemilik tanah NCR,” tambah beliau.

Hamden (berdiri enam kiri) bersama ahli-ahli majlis tertinggi Persatuan Kemajuan Batang Oya-Pakoh dan Sekuau.

Selain itu, Hamden berkata kawasan tadahan air dan kawasan tanah perkuburan adalah dikeluarkan dari Lesen (OT). Laporkan segera jika ada pencerobohan dikawasan ini.

Beliau juga mengingatkan agar semua pemilik tanah NCR yang ada pokok kayu yang berhutan di negeri ini yang ingin menebang pokok hutan dan membawa keluar pokok kayu tesebut agar mendapatkan permit khas atau surat kuasa dari jabatan hutan mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Kemajuan Batang Oya-Pakoh dan Sekuau, Henry Kanyan, melahirkan rasa syukur dan terima kasih di atas Lawatan Kerja Pengarah Hutan Sarawak ke Rh Jackson Ngumbang.

Beliau berharap kerjasama yang berterusan antara JHS dengan Persatuan tersebut demi pembangunan dan meningkatkan taraf ekonomi ahli-ahli persatuan.

Semasa lawatan tersebut, turut diadakan sesi dialog bersama pengarah Hutan dengan ahli-ahli Persatuan Kemajuan Batang Oya-Pakoh dan Sekuau dan majlis berakhir dengan upacara ngiling bidai bagi Rh Jackson Ngumbang.

Program lawatan kerja tersebut turut dihadiri kira kira 400 orang yang terdiri dari ahli Persatuan Kemajuan Batang Oya-Pakoh dan Sekuau.

Turut hadir adalah Pegawai Hutan Wilayah Sibu Arifin Awang Zulkifli, Ketua Unit Korporat JHS Mohd Saiful, Penghulu Kawasan Sekuau, Pakoh dan Batang Oya Andrewson Ngalai dan Penghulu Kawasan Pakan Wilfred Ullie. — DayakDaily