Mekanisme untuk erat hubungan PIBG, sekolah perlu untuk memperkasa pendidikan

Jugah (tiga kiri) di sambut oleh ahli PIBG SK Engkilili No.1.

ENGKILILI, 29 Jun: Satu mekanisme harus diwujudkan untuk merapatkan hubungan pihak sekolah dengan ibu bapa melalui persatuan PIBG untuk memperkasakan pembangunan pendidikan di kawasan luar bandar.

Menurut Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang, peranan ibubapa, guru dan masyarakat setempat harus sentiasa terjalin dan kukuh. Hubungan permuafakatan ini mewujudkan persefahaman dan perkongsian bijak demi kebaikan bersama untuk merealisasikan harapan dan wawasan pendidikan.

Beliau berkata sokongan semua pihak adalah asas untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan pendidikan anak-anak bagi menjamin masa depan yang stabil, dan seterusnya melahirkan lebih ramai golongan intelektual dan professional pada masa depan.


Jugah (duduk tiga kiri) bergambar kenangan bersama guru-guru dan ahli PIBG SK Engkilili No.1.

“Impian kita ingin melihat pelajar dari Parlimen Lubok Antu ini sebagai pelajar cemerlang bukan sahaja peringkat sekolah malah negeri ataupun Malaysia.

“Jika kita mampu melahirkan pelajar cemerlang dapat menyumbang kepada pembangunan tempat kelahiran mereka, ini sangat menguntungkan untuk jangka masa panjang,” katanya di Majlis Permuafakatan SK Engkilili No.1 bersama PIBG di sini, semalam.

Program itu diadakan setiap tahun untuk mengeratkan hubungan antara kakitangan sekolah, ketua masyarakat setempat dan ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Pada majlis tersbut, Jugah memberi peruntukkan sejumlah RM20,000 kepada PIBG sekolah tersebut.

Beliau berharap peruntukkan ini dapat digunakan sebaiknya untuk aktiviti guru-guru dan pelajar bersama ibubapa. Di samping itu, wakil rakyat tersebut juga memperuntukkan sumbangan untuk membina 20 parkir kereta SK Engkilili No.1.

“Kita sedar bahawa guru-guru yang mengajar di luar bandar terutama di kawasan Parlimen Lubok Antu menghadapi kemudahan serba kekurangan jika dibandingkan dengan kawasan bandar.

“Pengorbanan ditunjukkan guru-guru terbabit terutama berkhidmat di sekolah luar bandar harus kita puji kerana mereka sedia berhadapan dengan cabaran untuk melihat anak-anak mendapat pendidikan secukupnya,” katanya.

Jugah juga memohon ahli PIBG agar bekerjasama dengannya dalam usaha membangunkan pendidikan di kawasan Parlimen Lubok Antu.

Beliau menegaskan bahawa dia amat memerlukan kerjasama sokongan semua dalam usaha membangunkan mutu pendidikan dan kemudahan pembangunan sekolah demi memberi keselesaan prasarana kepada anak-anak mereka belajar menimba ilmu. — DayakDaily