‘Tindakan Pandikar bertentangan kehendak Najib, rakyat Sabah’

Awang Tengah (depan) disambut perwakilan parti PBB dari Gedong dan Simunjan ketika merasmikan Majlis Mesyuarat Perwakilan Parti PBB Cawangan N. 26 Gedong dan N. 25 Simunjan.

KUCHING, Dis 7: Penduduk negeri ini perlu melihat tindakan Speaker Parlimen, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mahu berdebat dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengenai Perjanjian Malaysia (MA63) sebagai bertentangan kehendak majoriti rakyat Sabah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata demikian kerana beliau sebagai wakil rakyat dari utara negeri ini mempunyai ramai rakan di Sabah malahan ramai saudara-maranya rakyat Sabah dan majoriti dari mereka tidak bersetuju dengan tindakan Speaker Parlimen terbabit.

“Tetapi pemimpin dari Sabah terbabit cuba hendak berbahas dengan Ketua Menteri kita, dia sebenarnya bertentangan dengan dirinya sendiri, dengan kehendak rakyat Sabah, majoriti dari mereka dan bertentangan juga dengan apa yang telah dipersetujui Perdana Menteri,” katanya ketika merasmikan Majlis Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.26 Gedong dan N.25 Simunjan, di sini, semalam.


Seramai sekitar 1,000 perwakilan parti PBB dari Gedong dan Simunjan menyertai mesyuarat itu dengan majlis perasmiannya juga dihadiri (ADUN) Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais, ADUN Simunjan, Awla Dris dan ADUN Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi.

Awang Tengah (kiri) berucap kepada perwakilan parti PBB dari Gedong dan Simunjan ketika merasmikan Majlis Mesyuarat Perwakilan Parti PBB Cawangan N. 26 Gedong dan N. 25 Simunjan.

Awang Tengah yang juga ADUN Bukit Sari di Lawas berkata ini kerana sebelum ini Perdana Menteri sudah menyatakan dengan terbuka yang beliau bersedia mengembalikan semula hak negeri ini dan Sabah dalam MA63 sekiranya telah secara sengaja atau tidak sengaja terhakis.

Bagaimanapun selepas Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan terbabit, Awang Tengah terperanjat yang pemimpin dari Sabah terbabit mahu berbahas dengan Ketua Menteri Sarawak sedangkan rakyat Sabah turut sama mahu menuntut hak negeri mereka dalam MA63.

“Pandikar ini, biarlah orang Sabah sendiri menentukannya, tetapi kita orang Sarawak perlu ingat pesanan bekas Ketua Menteri, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang kita bersama membentuk Malaysia, sekarang dalam Malaysia dan kita akan terus dalam Malaysia, tetapi ini tidak bererti kita tidak boleh menuntut apa yang menjadi hak kita,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk negeri ini yang mahu hak dan kepentingan negeri ini dalam MA63 dikembalikan supaya memberikan sokongan padu kepada Ketua Menteri Abang Johari yang sedang memperjuangkan perkara terbabit.

Tengah berkata Ketua Menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) November lepas mengumumkan kerajaan negeri akan meneruskan usaha mengambil semula hak negeri ini dalam perjanjian itu yang telah terhakis dan beliau juga mahu memperjuangkannya sebagai anak pemimpin negeri ini yang menandatangani MA63. — DayakDaily