Tindakan kerajaan untuk tidak melanjutkan perkhidmatan guru interim disifatkan sebagai ‘kejam’


KUCHING, Nov 2: Dalam satu kenyataan media, Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) Cobbold John Lusoi mengatakan beliau kecewa dengan tindakan ‘kejam’ Kementerian Pelajaran menamatan perkhidmatan 63 orang pengajar interim di Sarawak baru-baru ini memandangkan keperluan tenaga pengajar masih amat diperlukan.

“Menurut Dato Seri Mahdzir Khalid, beliau tidak pernah berkata bahawa ini adalah ‘penamat’ kepada guru-guru berkenaan, dan tidak bersetuju dengan sebuah akhbar tempatan yang meletakkan tajuk “End of The Road” sebagai merujuk kepada nasib guru-guru berkenaan.

“Beliau menjelaskan selaras dengan polisi 90:10, di mana kerajaan berusaha ke arah menjadikan 90 peratus daripada guru di Sarawak dari kalangan penduduk Sarawak, dan tahun lepas lebih 900 guru interim dari kalangan anak Sarawak menghadiri temuduga SPP. Tambahan Dato Seri Mahdzir Khalid berkata bagi sekolah rendah kebangsaan, kira-kira 88 peratus kini sudahpun terdiri daripada guru-guru yang berasal dari Sarawak”, kata Cobbold.


“Pejabat Ketua Menteri Sarawak menjelaskan bahawa perkhidmatan guru-guru interim yang terlibat tidak akan dibatalkan, tetapi mereka dikehendaki untuk menghadiri satu lagi sesi temuduga dan hanya yang layak akan diterima untuk mengisi jawatan. Semua jawatan guru interim di Sarawak akan diisi oleh rakyat Sarawak sahaja dan tidak timbul isu menggantikan mereka dengan guru bukan dari Sarawak.

“Saya mempersoalkan kredebiliti kerajaan BN Sarawak dan juga Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan yang diterajui oleh Dato Seri Michael Manyin Jawong. Mereka (guru interim) semua ini graduan dalam bidang pendidikan. Maka tak perlulah nak menjalani ujian lagi. Di mana pendirian kerajaan BN? Adakah mereka tunduk kepada Kerajaan Persekutuan?” soal Cobbold.

Tegasnya lagi, kebanyakan pengajar interim yang ditamatkan perkhidmatan ini dari kalangan masyrakat Dayak. Beliau mempersoalkan ketelusan kerajaan BN dalam menangani isu ini dan berkata kerajaan harus mengelakkan diskriminasi kaum. Tambahnya, beliau sangat berharap agar nasib pengajar interim ini terbela kerana mereka telah berkhidmat dalam perkhidmatan pendidikan berberapa tahun dan ada dikalangan mereka telahpun berumahtangga. Selain mempunyai komitmen keluarga, mereka juga perlu membayar balik pinjaman PTPTN dan kerajaan harus menyerap mereka ke dalam perkhidmatan tetap.

“Status guru interim bermaksud mereka layak menikmati segala ganjaran kewangan dan faedah sampingan sepertimana penjawat awam yang lain, kecuali status perkhidmatan secara tetap. Tempoh interim tidak akan diambil kira sebagai perkhidmatan tetap, termasuk senioriti dan hitungan sagu hati persaraan (gratiuiti). Tarikh lantikan tetap akan tertakluk kepada keputusan temu duga SPP, sama ada mulai tarikh temu duga, atau diundur sehingga sama dengan tarikh penempatan secara interim”, Cobbold berkata. — DayakDaily