Tindakan DAPSY cemar Bulan Kemerdekaan negara, kata Pemuda PAS

Hamdan Sani

KUCHING, 22 OGOS: Pemuda PAS Sarawak menyifatkan tindakan DAPSY menampal tulisan bahasa cina di papan tanda jalan telah mencemar sambutan Bulan Kemerdekaan.

Ketuanya, Hamdan Sani berkata, DAPSY memperalatkan isu papan tanda untuk memperolehi sentimen perkauman dan hanya berkepentingan politik.

Katanya, ia perkara yang remeh tetapi boleh mencetuskan suasana tidak harmoni di negeri ini.


“Tindakan menampal tulisan bahasa cina di papan tanda jalan ini amat bertentangan dengan semangat bulan kemerdekaan.

“Kami(PAS) menegaskan, janganlah cuba sesekali mengapi-apikan sentimen perkauman kerana ianya boleh membawa kepada ketegangan kaum,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Hamdan, slogan kepelbagaian kaum yang dijaja oleh DAP tidak ubah seperti kosmetik solekan yang hanya diguna bila perlu dan ditinggalkan bila tidak diperlukan.

Justeru tegas beliau, Pemuda PAS Sarawak menyeru rakyat Sarawak khususnya orang asal dapat melihat realiti ini.

“Kami menasihatkan DAPSY agar belajar kembali perkara asas rukun negara dan perlembagaan Malaysia.

“Hakikatnya Malaysia adalah negara pelbagai kaum yang boleh hidup aman dan harmoni jika perkara asas ini dijaga dan tidak menyentuh perkara yang sensitif seperti ini,” ujar Hamdan.—DayakDaily