Timbalan Menteri: Belum ada perancangan tempatkan Stesen Penguatkuasa (Timbang) di Jalan Bau-Kuching

Mambong
Datuk Dr Jerip Susil

KUCHING, 22 Nov: Belum ada perancangan untuk pembinaan Stesen Penguatkuasa (Timbang) di sekitar Jalan Bau-Kuching, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil.

Pada masa kini katanya, Stesen Penguatkuasa (Timbang) yang terdekat adalah di Serian manakala dua stesen lain ialah di Stapang, Sibu dan Skaloh, Miri.

Menurut Dr Jerip, ia merupakan Stesen Penguatkuasa Utama bagi Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian dalam melaksanakan operasi berkaitan dengan kenderaan lebih muatan.


“Walau bagaimanapun, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak telah dibekalkan tiga unit alat timbang mudah alih.

“Ini bagi tujuan penguatkuasaan kenderaan perdagangan yang membawa lebih muatan.

“Sehingga Oktober 2023, sebanyak 1,771 jumlah saman kerana kesalahan lebih muatan atau muatan berbahaya di Sarawak telah dikeluarkan,” katanya sebagai menjawab soalan Adun Serembu Miro Simuh di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Bagi Bahagian Kuching setakat Oktober 2023 tambah Dr Jerip, sebanyak 343 saman telah dikeluarkan kepada kenderaan melebihi muatan / muatan berbahaya termasuk Jalan Bau-Kuching.

“Jabatan Pengangkutan Jalan Sarawak sekurang-kurangnya 10 kali sebulan melaksanakan pemantauan dan ops bagi penguatkuasaan kenderaan melebihi muatan atau muatan berbahaya di kawasan Jalan Bau-Kuching,” ujar Dr Jerip. — DayakDaily