Tiga warga emas antara 12 lelaki ditahan berkaitan judi sabung ayam

Tujuh lelaki ditahan anggota Task Force CID IPD Miri dalam serbuan dilakukan di sebuah kebun Pisang di Kuala Baram.

MIRI, 3 Mei: Akibat leka berjudi sabung ayam, seramai 12 lelaki termasuk tiga warga emas ditahan polis dalam dua serbuan berasingan pada Ahad (2 Mei) di sini.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Task Force Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri pada jam 3.15 petang dan 4.20 petang di dalam sebuah kebun pisang di Kuala Baram dan tapak pembuangan sampah di Jalan Lutong-Kuala Baram.

Kesemua suspek berusia antara 18 sehingga 68 tahun itu telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.


Anggota polis turut merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk aktiviti sambung ayam di lokasi.

Turut dirampas dua unit alat penimbang, dua keping papan pertaruhan, empat ekor ayam sabung (sudah mati) dan empat bilah tajam.

Difahamkan kedua-dua lokasi tersebut merupakan tumpuan kaki sabung ayam.

Ketua polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Langkah2 Pencegahan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962. — DayakDaily