Tiga termasuk dua wanita warga asing disyaki pengedar dadah ditangkap di Kuching

Gambar komposit tangkapan dan rampasan kes tersebut.

KUCHING, 7 April: Seorang lelaki tempatan bersama dua wanita warga asing ditangkap kerana disyaki terlibat kegiatan pengedaran dadah dalam satu operasi pada 4 April baru-baru ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak Supt Wong Leong Meng berkata mulanya mereka menahan suspek lelaki yang memandu sebuah kereta sekitar jam 2.30 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan, pihak polis menemui sejumlah dadah di dalam kereta suspek.


“Hasil daripada maklumat susulan dan dipandu arah oleh lelaki berkenaan, pada hari yang sama pihak polis JSJN IPK Sarawak telah membuat satu serbuan di sebuah kediaman apartment di Kuching.

“Dalam serbuan ini, pihak polis telah berjaya menahan dua wanita warganegara Vietnam yang berumur 24 tahun dan 33 tahun yang berada di dalam kediaman tersebut.

“Hasil pemeriksaan ke atas kediaman tersebut telah berjaya menjumpai sejumlah dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dedahnya, kesemua dadah yang dirampas dalam serbuan tersebut dianggarkan bernilai RM40,504.

“Dadah yang berjaya dirampas ialah jus campuran ekstasi sebanyak 58 paket (RM37,700), ketamin sebanyak 13.35 gram (RM2,000), Pil Ekstasi, 13 biji (RM390) dan Erimin 5 sebanyak 30 biji (RM450).

“Turut dirampas daripada suspek ialah sebuah kereta dan wang tunai RM6,220,” katanya.

Tegasnya ketiga-tiga suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 6 April 2022 hingga 12 April 2022 untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum dengan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan hendaklah.

“Jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan hukuman sebatan yang tidak kurang daripada lima belas sebatan,” katanya.

JSJN Sarawak berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan dadah yang berlaku disekeliling mereka.

Maklumat boleh disalurkan kepada talian Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui aplikasi WhatsApp ditalian 012- 2087222. — DayakDaily