Tiga suspek curi rim kereta direman empat hari

Ketiga-tiga suspek direman selama empat hari bermula hari ini.

SERIAN, Feb 23: Tiga suspek yang disyaki terlibat dalam kes mencuri kenderaan di sekitar daerah ini direman selama empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Serian, Dsp. Aswandy Anis berkata, ketiga-tiga suspek berusia 17 hingga 34 tahun itu direman sehinga Feb 26 depan untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.


“Sebelum itu, ketiga-tiga suspek telah ditahan pada pukul 6 petang di sebuah rumah di Kampung Sungai Tangga di sini.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek yang merupakan lelaki tempatan terlibat dalam dua kes mencuri rim kenderaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, DayakDaily melaporkan polis Serian berjaya memberkas tiga suspek yang disyaki terlibat dalam beberapa kes curi rim kenderaan di daerah itu.

Hasil kejayaan itu, pihak polis berjaya menemui semula rim kenderaan yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk melakukan kegiatan jenayah itu. — DayakDaily