Tiga sahabat nyaris rentung, kereta terlibat kemalangan tiba-tiba terbakar di Betong

Gambar komposit menunjukkan anggota Bomba memadam kebakaran tersebut.
Advertisement

BETONG, 8 Feb: Tiga sahabat berjaya diselamatkan sebelum kereta dinaiki mereka terbakar selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Pematoh, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 4.41 petang.

Beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong dikerahkan ke lokasi kejadian.

Advertisement

“Sampai di tempat kejadian, didapati kereta jenis Perodua Myvi tersebut telah terbakar sepenuhnya dan anggota kita bertindak memadam kebakaran tersebut menggunakan satu aliran salur bantu dari jentera.

“Tiga mangsa, termasuk seorang remaja perempuan berjaya dikeluarkan dari dalam kereta dengan bantuan pekerja pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo sebelum kereta tersebut tiba-tiba terbakar,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya juga, kesemua mangsa berusia 19, 22 dan 32 tahun itu kemudian dikejarkan ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Terdahulunya, ketiga-tiga mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Sibu menuju ke Kuching apabila kereta mereka tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas.

“Maklumat yang diperolehi mengatakan kereta mangsa telah melanggar tayar belakang sebuah lori sebelum melanggar pembahagi jalan,” katanya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.34 petang dan anggota Bomba terus berangkat balik ke balai.

Turut hadir di lokasi kejadian ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). — DayakDaily

Advertisement