Tiga sahabat disyaki memecah masuk sebuah kedai dobi ditahan

ketiga-tiga suspek (berdiri barisan hadapan) ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 18 April: Kurang dari empat jam selepas tiga sahabat disyaki memecah masuk sebuah kedai dobi yang sedang dalam proses pengubahsuaian, polis Miri menahan kesemua suspek di tiga lokasi berasingan semalam (18 April).

Dalam kejadian sekitar jam 9 pagi itu, beberapa peralatan yang digunakan kontraktor dalam kerja-kerja pengubahsuaian bernilai RM8,000 dilaporkan hilang disyaki telah dicuri dari premis tersebut di Jalan Nakhoda Gampar di sini.


Bertindak dari laporan tersebut, anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) telah melancar Ops Pintu bagi mengesan suspek.

Pencarian berhasil, dengan tertangkapnya suspek pertama yang kemudiannya memandu arah lokasi suspek kedua dan ketiga.

Beberapa peralatan yang dilaporkam hilang juga telah berjaya ditemui.

Kesemua suspek lelaki berumur 25, 47 dan 52 tahun kini sedang ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Difahamkan juga, salah seorang suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan penahanan ketiga-tiga suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — DayakDaily