Tiga rumah terbakar di Kg Tabuan Dayak

Fire and Rescue Department Malaysia/ Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia logo

KUCHING, 8 Mei: Sebanyak tiga buah rumah di Kampung Tabuan Dayak, di sini dilaporkan musnah dalam kebakaran malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 8.29 malam.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya serta Batu Lintang dikerahkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran tersebut.


“Komander Operasi lapor kebakaran melibatkan tiga buah rumah iaitu rumah pertama jenis tidak kekal dua tingkat telah terbakar 100 peratus.

“Manakala rumah kedua jenis separuh kekal dua tingkat terbakar 70 peratus dan rumah ketiga iaitu jenis tidak kekal setingkat telah terbakar 40 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dilaporkan kesemua penghuni telah berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah masing-masing sebelum api marak.

“Kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa,” katanya.

Jelasnya api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.47 malam.

“Pihak Bomba menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan sumber air dari pili bomba berhampiran,” katanya.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. ā€” DayakDaily