Sebuah rumah terbakar di Kg Muhibbah di Sri Aman

Fire and Rescue Department Malaysia/ Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia logo

SRI AMAN, 8 Mei: Sebuah rumah di Kampung Muhibbah, di sini dilaporkan musnah dalam kebakaran pada lewat malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 11.11 malam.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikerahkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.


“Komander Operasi lapor kebakaran melibatkan satu rumah kediaman jenis tidak kekal yang telah musnah terbakar 100 peratus.

“Pihak Bomba terus melakukan operasi pemadaman dengan menggunakan sumber air dari pili bomba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dilaporkan kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.30 malam dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.03 tengah malam.

“Tiada kecederaan serta kemalangan jiwa dilaporkan dan penghuni rumah juga tiada semasa kejadian” katanya.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily