GPS tidak beri ruang untuk Bersatu pada PRU15 — Nanta

Datuk Sri Alexander Nanta Linggi — file pic

KUCHING, 7 Mei: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan memberi kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Setiausaha Agung GPS Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, kenyataan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam juga jelas membuktikan GPS tidak akan memberi ruang kepada mana-mana parti yang ingin bekerjasama dengan gabungan itu.

“Kenyataaan daripada Abang Johari sebagai Pengerusi GPS sudah jelas dan beberapa kenyataan sama telah dibuat sebelum ini.


“Jadi memang itu adalah satu pendirian GPS buat masa sekarang,” katanya.

Berhubung kemungkinan Bersatu memohon untuk bekerjasama dengan GPS dalam PRU15, Nanta menegaskan ia terpulang kepada kebijaksanaan Abang Johari.

“Itu saya tidak boleh buat andaian sekarang, sebaiknya kita ambillah kenyataan yang telah dinyatakan Premier Sarawak,” katanya.

Mengulas lanjut, GPS tambahnya sentiasa bersedia menghadapi PRU-15 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.

Menurut Nanta, jentera-jentara GPS juga sudah mula mengadakan perhimpunan bagi menyusun atur langkah menjelang PRU15.

Pada tahun lepas, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendedahkan bahawa akan bekerjasama dengan Gabungan GPS pada PRU15.

Muhyiddin berkata persefahaman telah dicapai semasa pertemuan dengan Abang Johari Openg beberapa minggu sebelum pilihan raya negeri.

Bersatu telah memberi laluan kepada GPS dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 Sarawak yang lalu, dengan tidak bertanding.

Muhyiddin turut berharap langkah itu akan memberi laluan kepada GPS untuk bekerjasama dengan bersatu pada PRU15 nanti.

Bersatu kini memegang dua kerusi parlimen di Sarawak iaitu Puncak borneo dan Saratok.

Kedua-dua kerusi itu dipegang oleh bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) , di mana Datuk Willie Mongin merupakan MP Puncak Borneo dan Datuk Ali Biju sebagai MP Saratok. — DayakDaily