Tiga rumah hangus, seorang melecur dalam kebakaran di Debak, Betong

Kelihatan api marak dengan cepat.
Advertisement
BETONG, 14 Mei: Tiga buah rumah di Kampung Babu, Debak di sini musnah dalam kebakaran lewat malam tadi (Khamis).
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 11.09 malam dan anggota dari Balai Bomba Betong terus ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan tiga buah rumah kediaman, di mana sebuah musnah 100 peratus, sebuah lagi 50 peratus dan sebuah lagi lima peratus musnah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, seorang daripada penghuni rumah dilaporkan mengalami kecederaan melecur di bahagian belakang badan.
“Mangsa yang melecur merupakan seorang lelaki berusia 27 tahun iaitu penghuni di rumah pertama yang telah musnah sepenuhnya.
“Mangsa telah dikejarkan ke klinik berdekatan oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Tambahnya, penghuni rumah yang lain dilaporkan selamat.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada jam 1.40 pagi. — DayakDaily
Advertisement