Keluarga mangsa kebakaran di Pekan Batu 7 terima bantuan kewangan kerajaan

Fatimah (dua kiri) menyampaikan bantuan kewangan kepada Hiew.

KUCHING, 16 Jan: Mangsa kebakaran di Pekan Batu 7 pada 9 Januari lepas menerima bantuan kewangan sejumlah RM13,100 daripada Kerajaan Negeri.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia melibatkan bantuan pemulihan perniagaan, bahan binaan dan bantuan lain.

“Kerajaan memberikan bantuan pemulihan perniagaan RM6, 000, bantuan bahan binaan RM4, 000 dan bantuan lain,” katanya pada lawatan ke premis bencana hari ini.


Fatimah dalam pada itu mengucapkan takziah kepada keluarga Hiew Sze Hian, 40, yang turut kehilangan anak dalam kebakaran tersebut.

Katanya, premis milik Hiew merupakan kedai runcit yang menjual makanan ringan dan peralatan elektronik.

“Beliau dan ahli keluarganya tinggal di atas kedai tersebut yang mempunyai tiga buah bilik tidur, ruang tamu dan sebuah dapur.

“Dalam kejadian tersebut, premis dan kediaman ini dianggarkan telah hangus 80 peratus. Segala dokumen peribadi dan pakaian serta kelengkapan tidur telah musnah.

“Malang sekali, kejadian ini turut meragut nyawa seorang anaknya (OKU) yang berumur 12 tahun,” ujar Fatimah. — DayakDaily