KUCHING, 26 Jun: Seramai 21 penghuni daripada tiga keluarga di Kampung Haji Baki, di sini ditimpa musibah apabila rumah mereka terbakar petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.53 petang.
Katanya, anggota dari Balai Bomba Batu Lintang dan Tabuan Jaya terus ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.
“Kebakaran melibatkan tiga rumah kediaman dua tingkat, di mana sebuah daripadanya musnah 100 peratus dan dua lagi musnah 10 peratus.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.15 dan operasi memadam kebakaran tamat pada jam 5 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kejadian kebakaran tersebut tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Kitang Lo Khere Chiang turut hadir melawat mangsa di lokasi kejadian.
Dalam masa sama, beliau turut menyampaikan bantuan kecemasan kepada mangsa.
Difahamkan rumah pertama didiami sebuah keluarga terdiri daripada enam orang, rumah kedua seramai 12 orang dan rumah ketiga didiami tiga penghuni. — DayakDaily