Empat keluarga mangsa kebakaran di Kg Haji Baki dapat bantuan RM70,000 bina rumah baharu

Fatimah (duduk dua dari kiri) berbual dengan mangsa-mangsa kebakaran Kampung Haji Baki. Turut kelihatan Adun Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang (berdiri, baju kuning).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 3 April: Empat keluarga yang menjadi mangsa kebakaran di Kampung Haji Baki baru-baru ini mendapat bantuan RM70,000 bagi membina rumah baharu dari kerajaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bantuan adalah dalam bentuk peralatan membina rumah dan diuruskan oleh Pejabat Residen.


“Kerajaan Negeri ada menyediakan bantuan sebanyak RM70,000 kepada mangsa kebakaran untuk membina rumah baharu.

“Tetapi ia bukan dalam bentuk tunai. Ia dalam bentuk peralatan bagi membina rumah,” katanya ketika ditemui di penyampaian cek bantuan hari ini kepada mangsa-mangsa kebakaran yang berlaku di Lorong 16, Kampung Haji Baki pada 22 Mac lepas.

Pada kejadian itu, lapan buah rumah jenis dua tingkat separuh kekal terbakar dengan empat daripadanya musnah sepenuhnya.

Menurut Fatimah, permohonan bagi bina rumah baharu kini sedang diuruskan dan memerlukan sedikit masa, dan mangsa boleh memohon samada membina rumah ditapak asal atau di kawasan lain.

Dalam pada itu, tambah Fatimah, empat keluarga tersebut buat sementara waktu akan menyewa rumah di Taman Landeh.

“Ada tawaran bagi mereka menyewa rumah di PPR Taman Landeh, boleh pindah selepas Hari Raya ini.

“Mangsa hanya perlu membayar RM50 sebulan dengan RM200 adalah subsidi dari kerajaan Negeri,” kata Fatimah. — DayakDaily