Tiga penjenayah guna parang dan topeng ikat mangsa rompakan diburu polis

Kereta Honda City milik mangsa rompak yang berjaya ditemui semula.

KUCHING, Julai 2: Enam beranak berdepan detik mencemaskan apabila mereka diikat sekumpulan tiga penjenayah bertopeng dalam satu kejadian rompakan di sebuah rumah di Sungai Moyan, Batu Kawa di sini malam tadi.

Kejadian itu telah mengakibatkan keluarga terbabit mengalami kerugian apabila perompak berkenaan telah melarikan sebuah kereta Honda City milik keluarga berkenaan.

Menurut sumber, kumpulan penjenayah bersenjatakan parang panjang itu juga telah melarikan wang tunai berjumlah RM22,000 selain dua bentuk cincin emas, seutas gelang kaki, dua utas gelang tangan, subang, jam tangan berjenama Oris dan komputer riba milik Kementerian Pendidikan.


“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai masuk ke dalam ke dalam kawasan rumah dengan memotong pagar belakang dan masuk ke dalam kediaman mangsa menggunakan tingkap dapur.

“Selepas memasuki kediaman itu, kumpulan penjenayah kemudian mengikat mangsa dewasa dengan menggunakan kabel wayar elektrik, namun mereka tidak mengikat mangsa kanak-kanak,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Katanya, berdasarkan keterangan mangsa, ketiga-tiga suspek itu dipercayai warga Indonesia menerusi cara percakapan mereka dan menggunakan topeng jenis Balaclava.

“Buat masa ini polis sedang menjejaki kumpulan penjenayah terbabit.

“Namun begitu, kereta Honda City milik keluarga tersebut berjaya dijejaki di kawasan ladang kelapa sawit di Bau hari ini,” ujarnya lagi. — DayakDaily