KAPIT, 5 Sept: Tiga lelaki disahkan meninggal dunia dalam nahas sebuah lori simen yang dilaporkan terbabas ke dalam gaung di Jalan Merit, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhuhung kajadian pada jam 11.35 pagi.
Katanya, kawalan menerima laporan kemalangan lori jatuh gaung dan terdapat tiga mangsa warga tempatan berusia 33 dan 40 tahun tersepit di dalamnya.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kemalangan membabitkan sebuah lori simen dinaiki tiga pekerja yang jatuh gaung setinggi 20 kaki.
“Kesemua mangsa dilaporkan tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh bomba dengan menggunakan Hydraulic Rescue Tools untuk memotong bingkai cermin lori tersebut.
“Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia selepas diperiksa anggota paramedik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Identiti ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai George Wong dan Steven Janggai Bungkang masing-masing berusia 33 tahun serta Bunyau Manggie,44 tahun.
Operasi mengeluarkan kesemua mangsa dilakukan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapit.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.58 petang. — DayakDaily