Tiga lelaki dicekup selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

BAU, Julai 19: Polis menahan tiga lelaki selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi satu serbuan di sebuah rumah di Siniawan semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 petang itu, polis berjaya menahan ketiga-tiga suspek yang berusia antara 28 hingga 31 tahun.


Sumber polis berkata, ketika ditahan, semua suspek didapati dalam keadaan khayal.

Katanya, pemeriksaan lanjut di rumah itu menemui dadah disyaki jenis syabu seberat 0.45 gram dan sejumlah wang tunai.

“Ujian air kencing juga mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah,” katanya hari ini.

Sumber sama menambah, semua suspek yang tidak memiliki pekerjaan itu ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” ujarnya. — DayakDaily