Tiga individu cemas, kenderaan dinaiki terjatuh dalam gaung

Pasukan bomba sedang membantu mangsa.

Oleh Dean Adam

TATAU, Mac 3: Dua lelaki dan seorang wanita berdepan dengan detik mencemaskan apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki mereka terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung di jalan berhampiran Rumah Along di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu mengakibatkan ketiga-tiga mangsa cedera.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 12.35 tengah hari.

Sejurus itu katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Sebaik tiba di lokasi kemalangan, pasukan bomba mendapati sebuah kenderaan Toyota Hilux dalam keadaan terbalik di dalam kawasan gaung.

“Kenderaan berkenaan dipercayai terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 9 meter dari jalan utama,” katanya di sini hari ini.

Kelihatan keadaan di lokasi kenderaan terbabas sebelum terjatuh dalam gaung.

Jurucakap sama menambah, pemeriksaan mendapati tiada mangsa yang tersepit.

Katanya, ketiga-tiga mangsa yang cedera kemudian diserahkan kepada petugas hospital untuk tindakan seterusnya.

“Operasi ditamatkan pada pukul 1.25 petang,” katanya lagi. — DayakDaily