Bangunan lama SMK Trusan musnah terbakar

Kelihatan kesan kebakaran di bangunan lama SMK Trusan.

Oleh Dean Adam

LAWAS, Mac 3: Sebuah blok bangunan lama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Trusan musnah terbakar, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu telah mengakibatkan blok bangunan jenis struktur separuh kekal terbakar 100 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Zaki@Jiki Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 7.48 pagi.

Jelasnya, sejurus itu sepasukan anggota bomba telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.


“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar blok bangunan sekolah berkenaan.

“Operasi memadam kebakaran terus dilakukan dengan menggunakan satu aliran ‘relay pumping’ sehingga api dapat dikawal dan padam sepenuhnya,” katanya di sini hari ini.

Kelihatan kesan kebakaran di bangunan lama SMK Trusan.

Tambahnya, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu.

“Punca kebakaran masih lagi dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada pukul 12.34 tengah hari,” katanya. — DayakDaily