Tiga ditahan semasa Op Mabuk di Padungan

Op Mabuk di Jalan Padungan.

KUCHING, Sept 10: Polis telah menahan tiga individu kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol semasa ‘Op Mabuk’ di Jalan Padungan, semalam.

Pemangku ketua polis daerah kuching, Supt Merbin Lisa berkata dalam operasi mulai jam 10.30 malam hingga 1.30 pagi tadi, tiga lelaki tempatan berusia 40, 31, dan 30 tahun telah ditahan dan dibawa ke IPD Kuching untuk tindakan lanjut kerana disyaki memandu dibawah pengaruh alkohol.

“Hasil ujian menggunakan alat EBA mendapati lelaki yang berumur 30 tahun tersebut positif alkohol iaitu kandungan alkohol melebihi 247mg/100ml manakala lelaki yang berumur 40 tahun negatif alkohol iaitu 49mg/100ml. Seorang lagi yang berumur 31 tahun ditahan untuk diambil spesimen darah di Unit Forensik Hospital Umum Sarawak dan disiasat lanjut di bawah Seksyen 45A(1) APJ 1987,” kata Merbin dalam satu kenyataan media hari ini.


Jika disabit kesalahan, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM1,000.00 dan tidak lebih RM6,000.00 atau penjara tidak melebihi 12 bulan.

Selain daripada itu, Merbin juga memberitahu, seramai 74 orang dan 63 buah kenderaan telah diperiksa oleh polis. Sebanyak 19 keping saman pelbagai kesalahanlalu lintas telah dikeluarkan pada malam yang sama kerasa tiada lesen memandu (3), gagal tunjuk lesen (3), tidak pakai tali pinggang keledar (2), tiada nombor pendaftaran (1), lesen memandu tamat tempoh (1), LKM tamat tempoh (3,) tiada lampu brek ketiga (1), tidak patuhi arahan anggota polis (1), tidak pamer cukai jalan (1), tiada cermin sisi (2) dan gagal berhenti (1).

“Walaupun ‘Op Mabuk’ ini kerap kali diadakan, namun masih terdapat individu yang dikesan memandu kenderaan dibawah pengaruh alkohol. Pihak polis akan meneruskan operasi seumpama ini bagi menyampaikan mesej kerajaan untuk membendung gejala pemandu mabuk dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya kemalangan maut di daerah Kuching.—DayakDaily