Tidak serik, seorang penjawat awam ditangkap lagi kerana dadah di Telaga Air

Dadah yang dirampas daripada suspek.

Juetila Ozzy

KUCHING,30 April: Sungguhpun pernah beberapa kali ditangkap kerana telibat jenayah dadah, namun tidak cukup menyedarkan seorang lelaki apabila ditangkap lagi pada malam semalam.

Tambah menyedihkan apabila suspek berusia 39 tahun, yang juga merupakan penjawat awam didapati memiliki dadah jenis syabu seberat kira-kira 1.80 gram.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata suspek diberkas bersama seorang lagi lelaki dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Telaga Air.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menjumpai satu kotak berisi enam keratan straw, dua straw warna merah dan dua paket plastik merah yang masing-masing memgandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu di poket kiri seluarnya.

“Manakala pemeriksaan ke atas seorang lagi suspek berusia 22 tahun telah menjumpai dalam poket hadapan kanan seluarnya satu keratan tiub straw mengandungi ketulan kristal juga disyaki syabu.

“Kedua-duanya kemudian ditangkap kerana memiliki dadah berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siastaan kes dijalankan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana kedua-dua suspek juga disahkan positif dadah.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 4 Mei untuk siasatan lanjut. — DayakDaily