BAU, 14 Feb: Seorang lelaki ditangkap dipercayai sedang khayal dibawah pengaruh dadah di sebuah rumah di Kampung Segubang, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata anggotanya telah menjalankan operasi di kampung tersebut dan memeriksa sebuah rumah sekitar jam 9.35 pagi.
Katanya, hasil pemeriksaan telah menemui suspek di dalam sebuah bilik di rumah tersebut.
“Pasukan operasi kemudian menahan suspek yang ketika itu berseorangan dan didapati sedang khayal dipercayai pengaruh dadah.
“Hasil pemeriksaan lanjut juga telah menemui satu paket plastik kecil lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat kira-kira 0.46 gram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hasil ujian saringan awal air kencing juga mengesahkan suspek positif dadah.
“Siasatan awal mendapati suspek juga pernah menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah pada tahun lepas,” katanya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952
Justeri Poge menasihatkan pihak keluarga juga harus memainkan peranan dalam membentuk sikap anak-anak ke arah yang lebih sihat.
“Pantau pergerakan anak-anak agar dapat menjalani hidup yang lebih baik dan sentiasa mendampingi anak-anak dan berani menegur jika didapati berkelakuan mencurigakan,” katanya. ― DayakDaily