Tiada peruntukkan untuk SPR arah tangguh PRN-12 Sarawak-Wan Junaidi

Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyerahkan Bantuan Awal Pengajian Yayasan Bank Rakyat untuk Pelajar UiTM Cawangan Sarawak kepada salah seorang penerima di Dewan Jubli UiTM Kampus Kota Samarahan.

Oleh Cornelius Kadir Edison

KOTA SAMARAHAN, 16 Okt: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 tetap akan dilaksanakan apabila tiba masanya walapun ketika negara masih berdepan dengan ancaman wabak Covid-19.

Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keputusan untuk menetapkan tarikh mengadakan PRN hanya boleh dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dilakukan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.


“Kalau pilihan raya tidak diadakan, DUN akan terbubar sendiri dalam tempoh lebih kurang lapan bulan dan kerajaan wajib mengadakan pilihan raya.

“Jadi dalam keadaan sedemikian, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mestilah memilih masa yang terbaik untuk menentu bila pilihan raya itu perlu diadakan dan beliau berkuasa untuk menasihatkan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri,” katanya

Wan Junaidi yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, penetapan tarikh pilihan raya hanya boleh dilakukan SPR selepas proses pembubaran kerana suruhanjaya itu tidak mempunyai sebarang kuasa atau peruntukan dalam pelembangaan untuk menghalang pembubaran DUN atau menangguhkan PRN Sarawak.

Bagaimanapun katanya, SPR mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada calon atau parti yang bertanding pada ketika pilihan raya itu boleh berkempen atau sebaliknya berlandaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada.

“Situasi PRN Sabah misalnya boleh dijadikan oleh SPR sebagai rujukkan untuk bagaimana melaksanakan proses pilihan raya di Sarawak.

“Adalah bidang kuasa SPR untuk menentukan bagaimana SOP yang harus dipatuhi oleh calon dan parti bertanding terutama ketika penularan wabak Covid-19 dan ketika aktiviti kempen dan kita akan mengikutinya dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Kata Wan Junaidi, daripada aspek perundangan, Pilihan Raya Umum atau Negeri hanya dapat ditangguhkan perlaksanaannya sekiranya berlaku ancaman keselamatan kepada negara sehingga mencetuskan situasi darurat.

“Kalau diistyharkan darurat dibawah Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan barulah kita tidak perlu adakan pilihan raya tapi pada saya situasinya (penularan Covid-19) tidak mencukupi untuk diisytiharkan Darurat,”katanya

“Pengisytiharan darurat adalah di bawah bidang kuasa Perdana Menteri untuk menasihati Yang Dipertuan Agong, tetapi tidak ada sejarah di mana pandemik ataupun penyakit yang membolehkan mana-mana pihak mengisytiharkan darurat.”

Tegasnya, penularan pandemik Covid-19 di negara ini belum lagi membolehkan situasi yang memerlukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menasihati Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengistiharkan darurat di seluruh negara.

Dewan Undangan Negeri Sarawak secara automatik akan terbubar dengan sendirinya pada Jun tahun hadapan, kurang Sembilan bulan dari sekarang selepas mandat yang diperolehi pada PRN-11 tamat pada bulan berkenaan.

Justeru, SPR perlu menentapka tarikh pilihan raya dalam tempoh 60 hari selepas tarikh akhir penggal ketika ini sekali gus membolehkan proses demokrasi di negara ini terus berjalan.-DayakDaily