KOTA SAMARAHAN, 28 Sept: Tiada laporan kes atau cubaan culik dilaporkan di Kota Samarahan setakat semalam.
Ia disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Brodie Brangka selepas diminta mengulas mengenai surat yang dikeluarkan oleh sebuah sekolah rendah di daerah tersebut yang bertajuk ‘Makluman Risiko Culik’.
“Setakat ini tiada berlaku kes culik di Kota Samarahan,” jawabnya melalui aplikasi WhatsApp.
Sungguhpun begitu, beliau tetap menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan mengambil berat mengenai keselamatan anak-anak, serta laporkan terus kepada polis sekiranya berlaku insiden mencurigakan agar tindakan segera dapat diambil. — DayakDaily