KPDNHEP siasat penjualan kad NFC pada kadar berlipat kali ganda

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 28 Sept: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan aktiviti penjualan kad Komunikasi Medan Dekat (NFC) Touch ‘n Go (TnG) pada kadar lebih lima kali ganda, menerusi platform pasaran dalam talian.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia membabitkan pekerja di kaunter pembayaran sebuah stesen minyak.

Individu berkenaan didapati menjual sekeping kad NFC yang asalnya berharga RM10 (tanpa ada sebarang kredit di dalamnya) pada kadar lebih lima kali ganda.


“Pasca pemeriksaan awal, sebanyak enam notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan kepada pihak terbabit, menuntut supaya penjelasan rasmi perlu dikemukakan kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP.

“Kegagalan berbuat demikian, pihak terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21(5) AKHAP 2011 kerana enggan atau gagal mengemukakan maklum balas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi tempoh dari April hingga 25 September lalu tambah Nanta, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP menerima empat aduan rasmi mengenai kad NFC, selain mengesan 13 iklan jualan membabitkan beberapa platfrom dalam talian.

Katanya, berdasarkan semakan dan maklumat daripada pengelola platform pasaran dalam talian, sebanyak 11 premis merangkumi kediaman peribadi serta bangunan perniagaan diperiksa berhubung kes sama.

Nanta memberitahu pihak pengurusan kanan kementerian seterusnya akan mengadakan pertemuan dengan syarikat TnG yang dijangka berlangsung minggu ini.

Pertemuan berkenaan antara lain bertujuan untuk mendapatkan status kaedah semasa penjualan dan isu kekurangan bekalan kad NFC seperti dikemukakan ramai pengguna.

Penjualan kad NFC sejak April tahun ini mengundang polemik dalam kalangan rakyat apabila rata-rata mengadu bahawa ia sukar didapati berikutan bekalan yang terhad di semua saluran seperti diuar-uarkan.

Saluran yang dihebahkan kepada orang ramai adalah pembelian kad berkenaan boleh dibuat sama ada secara datang terus ke premis stesen minyak terpilih atau menerusi transaksi dalam talian, menggunakan aplikasi TnG. — DayakDaily