Tiada keperluan isytihar semula PKP – Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - file pic

PUTRAJAYA, 3 Okt : Kerajaan tidak akan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun terdapat peningkatan mendadak kes positif Covid-19 ketika ini di  kawasan-kawasan tertentu.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kawalan Rentas Negeri terutama di Semenanjung Malaysia juga tidak akan dilaksanakan memandang tiada keperluan untuk berbuat demikian ketika ini.

Rakyat katanya, tidak perlu terlalu panik dengan perkembangan terkini kes positif Covid-19 kerana kes tersebut banyak disumbangkan dari kawasan depot tahanan di Sabah dan Kedah sementara negeri lain hanya mencatat kes yang sedikit.


“Kita tidak akan mengisythiharkan PKP kerana contohnya semalam, walaupun mencatatkan jumlah 287 kes positif tetapi 128 daripada 129 kes positif di Kedah misalnya melibatkan Kluster Tembok, iaitu mereka yang berada dalam penjara.

“Manakala daripada 113 kes di Sabah, 35 kes adalah Kluster Benteng juga di penjara, yang di luar 78 kes, walaupun jumlah itu agak besar namum kami sudah buat kawalan,” katanya pada sidang media khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika sesuatu negeri itu melepasi angka merah, kerajaan akan mengenal pasti kawasan terlibat dan sekatan akan dikenakan mengikut kawasan terlibat di negeri berkenaan.

“Kita tidak akan laksanakan sekatan seluruh negara, seluruh negeri atau seluruh daerah tetapi hanya kawasan sasar seperti satu kawasan flat atau kampung.

“Kalau satu dua kes, kita nak buat sekatan seluruh negara, sampai bila pun negara kita akan berada dalam PKP,” katanya.

Mengulas mengenai kawalan di pantai timur Sabah, Ismail Sabri berkata sidang khas hari ini turut bersetuju untuk menambah jumlah aset dan anggota keselamatan di kawasan terbabit melalui Operasi Benteng untuk menghalang kemasukkan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya melalui lorong tikus.

“Keputusan ini dibuat memandangkan kebanyakan kes-kes positif Covid-19 di Sabah adalah berpunca dari kes import dari negara-negara jiran,” katanya

Beliau berkata, warga asing yang ditahan dalam operasi berkenaan sama ada PATI atau berdokumen akan tetap dikuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan. -DayakDaily