Tiada istilah ‘potong barisan’ dalam pemberian vaksin Covid-19, kata Dr Noor Hisham

Laporan Media berkenaan isu pemberian vaksin kepada influencer

PUTRAJAYA, 25 Feb : Tiada isu memotong barisan dalam program pemberian Vaksin Covid-19 Fasa pertama kepada pertugas barisan hadapan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, amalan memotong barisan atau ‘cutting queue’ adalah tidak dibenarkan dan ia akan disiasat untuk tindakkan jika ada kemungkinan perkara tersebut berlaku.

Katanya, satu laporan media atas talian bertarikh hari ini (25 Feb) yang membawa tajuk ‘hasrat beri vaksin pada influencer, pengurusan kanan hospital terlebih dahulu dipersoal’ adalah satu berita palsu dan tidak benar.


“Semakan awal dengan Hospital Serdang mendapati bahawa sebagai menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak buah di hospital, pihak Hospital bercadang untuk memberi vaksin COVID-19 kepada beberapa orang ketua jabatan klinikal selain anggota barisan hadapan (frontliners) yang lain.

Laporan Media berkenaan isu pemberian vaksin kepada influencer

“Ketua jabatan klinikal merupakan pakar perunding klinikal bidang masing-masing dan sememangnya terdedah kepada risiko Covid-19 dan kerap mempunyai kontak dengan pesakit mahupun waris semasa menjalankan tugasan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham menengahkan bahawa pemberian vaksin Covid-19 akan diberi mengikut keutamaan seperti yang telah dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini.

Katanya, untuk fasa pertama, keutamaan diberikan untuk memberikan vaksin kepada semua pertugas vaksinator Covid-19 terlebih dahulu diikuti kakitangan yang mengurus atau terdedah kepada persakit Covid-19.

“Malah kakitangan di Ibu Pejabat KKM sendiri yang telibat dalam pasukan pertugas vaksin dan CPRC juga tidak termasuk dalam fasa pertama program Imunisasi tersebut,” katanya.

Justeru tegas beliau, tiada istilah ‘potong barisan’ atau memasukkan orang berpengaruh (influencer) bagi mendahului keutamaan yang telah ditetapkan KKM sebelum ini bagi penerimaan Vaksin terbabit.

Laporan Media berkenaan isu pemberian vaksin kepada influencer

“Pihak media dinasihatkan untuk berhati-hati ketika membuat laporan dan hanya melaporkan perkara yang disahkan benar dan KKM berharap laporan palsu seperti ini dapat diambil tindakan segera oleh pihak berwajib bagi mengelakkan salah faham di kalangan masyarakat,” katanya.

Pada masa sama beliau turut menasihati orang ramai untuk sentiasa menyemak terlebih dahulu sebelum mempercayai sebarang berita atau menyebarkan kepada orang lain. — DayakDaily