Tiada istilah ‘duit’ RTP masuk poket YB, kata Jamilah

Jamilah (empat dari kiri) bersama penduduk Kampung Siru Melayu.

Oleh Dean Adam

LUNDU, Jun 23: Masyarakat di Tanjong Datu khasnya diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan hasutan anasir luar yang mempertikaikan pembangunan projek di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berkata, setiap Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di konstituensi berkenaan dijalankan mengikut spesifikasi ditetapkan.

Tegasnya, dakwaan kononnya duit projek masuk ke poket wakil rakyat sebenarnya ada suatu perkara yang berniat jahat.

“Tiada istilah masuk poket YB (Yang Berhormat).

“Projek RTP diselaraskan oleh Jawatankuasa Penyelaras RTP Bahagian yang dipengerusikan oleh Residen Bahagian yang mana ahli-ahlinya terdiri dari Pegawai Daerah dan agensi-agensi pelaksana seperti JKR, DID, SEB dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Dewan Kampung Siru Melayu di sini malam tadi.

Projek naik taraf di bawah RTP itu memakan kos sebanyak RM200,000.

Dalam pada itu, Jamilah turut mengumumkan beberapa projek RTP lain di kawasan berkenaan.

Antaranya, kata Jamilah, ialah projek RTP bina benteng baru di Sungai Siru Besar Kampung Siru Melayu dengan kos RM500,000, Anjung Usahawan Telok Melano dengan kos RM5 juta dan naik taraf Jalan Kampung Telok Melano dan Telok Serabang berjumlah RM5 juta di bawah Projek Rakyat.

“Tandas awam berkonsepkan mesra alam sekitar di bawah projek RTP dgn kos RM200,000 juga akan dibina di Telok Melano untuk menampung keperluan asas prasarana.

“Menerusi pembinaan projek-projek ini, ia bakal menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya. — DayakDaily