Kes tipu pinjaman dalam FB akibat jurujual rugi RM3,350

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

MIRI, April 21: Lagi kes penipuan melibatkan pinjaman peribadi tidak wujud yang diiklankan dalam Facebook (FB).
Kes terbaharu yang dilaporkan membabitkan seorang jurujual wanita yang kerugian RM3,350.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kes itu bermula semasa mangsa melayari laman FB pada April 13 lalu sebelum dia tertarik dengan tawaran pinjaman kewangan dari sebuah syarikat.


Jelasnya, mangsa kemudian menghubungi seorang lelaki yang mengatakan adalah wakil dari syarikat pemberi pinjaman wang itu menerusi FB.

“Wanita itu seterusnya mengatakan dia berminat untuk membuat pinjaman wang sebanyak RM15,000 dari syarikat berkenaan.

“Suspek kemudian mengatakan pinjaman yang dimohon oleh mangsa boleh diluluskan dengan syarat mangsa perlu membuat beberapa bayaran terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa Kamal menjelaskan, selain itu, mangsa turut diminta menghantar gambar kad pengenalan, slip gaji dan nombor akaun RHB Bank kepada suspek menerusi aplikasi WhatsApp.

Katanya, terpedaya dengan kata-kata suspek, mangsa kemudian membuat pembayaran berjumlah RM3,350 ke satu akaun yang diberikan suspek melalui tiga kali transaksi dari April 14 hingga 19 lepas.

“Bayaran itu dibuat kononnya sebagai bayaran wang proses pinjaman dan mengaktifkan akaun. Mangsa kemudian merasakan telah ditipu setelah beberapa pembayaran dibuat, wang pinjaman yang dimohon masih belum diterima.

“Malah, suspek masih meminta mangsa untuk membuat bayaran tambahan kononnya untuk deposit cap jari dan bayaran ‘scan’ muka,” katanya sambil menambah kes itu masih lagi dalam proses siasatan. — DayakDaily