Oleh Chris Bishop
KUCHING, 11 Feb: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng menggesa rakyat negeri ini meneruskan amalan berkunjung ke rumah di setiap musim perayaan.
Menurut beliau, ia sudah menjadi satu budaya bagi masyarakat pelbagai kaum di Sarawak dah wajar dipertahankan.
“Pastikan kita terus mengamalkan budaya kunjung mengunjung ini supaya kita boleh mengenali ahli keluarga dan kawan-kawan dengan lebih dekat lagi.
“Adakan rumah terbuka, dan kita mengalu-alukan semua,” katanya.
Wee berkata demikian ketika ditemui selesai kunjungan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2024 oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Johari Tun Openg di kediaman beliau di sini hari ini.
Tambah Wee, kemajuan teknologi komunikasi masa kini bukan penghalang untuk tidak meneruskan amalan tersebut.
Katanya, kehadiran secara fizikal adalah lebih penting.
“Mulakan dengan memgunjungi keluarga terdekat, kemudiannya melawat kawan-kawan.
“Inilah yang berlaku sekarang, marilah belajar daripada satu sama lain dan kita menjadi Sarawak negeri paling harmoni,” katanya.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. — DayakDaily