Terlilit hutang judi dalam talian, pemuda sanggup curi 50 telefon bimbit dari majikan

Kedua-dua suspek (barisan depan) berusia 31 dan 51 tahun ditahan di Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 6 Okt: Gara-gara terlilit hutang judi ‘online’, seorang pemuda sanggup mencuri 50 unit telefon bimbit milik syarikat tempat dia bekerja pada hujung bulan lepas.

Kerugian dianggarkan sebanyak RM60,000.


Kejadian dilaporkan berlaku pada September 29 sekitar 9 pagi di Permyjaya Technology Park di sini.

Kejadian disedari pengurus premis tersebut beberapa jam kemudian sebaik sahaja melihat rakaman CCTV.

Suspek berusia 31 tahun itu telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Susulan tangkapan tersebut, polis menahan seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 51 tahun pada petang Selasa (5 Oktober), dipercayai kenalan suspek pertama.

Siasatan awal mendapati, suspek pertama telah menyerahkan satu bungkusan kepada suspek kedua untuk dijual dan bakinya digunakan untuk melunaskan hutangnya kepada lelaki tersebut.

Pada hari kejadian, kesemua 50 unit telefon jenis Oppo Reno 5F yang dibungkus dalam satu bunkusan, sepatutnya dihantar ke negara Brunei.

Pada Selasa, sebanyak sembilan unit telefon bimbit jenama Oppo Reno 5F dipercayai dicuri berjaya ditemui susulan penangkapan kedua-dua suspek itu.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengesahkan penahanan suspek. — DayakDaily