Terima kasih teruskan Projek Lebuh Raya Pan Borneo 

Datuk Seri Fadillah Yusof

Oleh Dean Adam

KUCHING, 2 Nov: “Terima kasih Kerajaan Pusat kerana meneruskan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak dan Sabah dalam Bajet 2019,” demikian kata Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof.

Bagaimanapun kata bekas Menteri Kerja Raya itu, kajian rasionalisasi kos yang dibuat harus mengkompromi soal kualiti dan keselesaan pengguna dalam pelaksanaan projek berkenaan.


“Ini kerana tadbir urus yang telah ditetapkan dalam pelaksanaan projek Pan Borneo Sarawak dan Sabah perlu dipatuhi bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

“Perlu diingat, projek Pan Borneo adalah ‘game changer’ bagi rakyat di kedua-dua negeri berkenaan dan ia perlu diteruskan seperti dirancang demi kemudahan serta keselesaan rakyat,” katanya ketika mengulas Bajet 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu menambah, bagi projek pembinaan dan penaiktarafan infrastruktur air, elektrik dan jalan raya, kemudahan kesihatan dan pendidikan, GPS berharap keutamaan akan diberikan kepada kawasan yang benar-benar memerlukan terutama di kawasan luar bandar.

Manakala ujarnya, bagi projek membina semula dan membaikpulih sekolah daif, Menteri Kewangan dalam Bajet 2019 telah mengumumkan sejumlah RM100 juga diperuntukkan bagi pembinaan sekolah daif di seluruh negara.

“Kerajaan sebelumnya telah mengumumkan RM2.5 bilion untuk pulih sekolah daif bagi tempoh dua tahun iaitu 2018 dan 2019 iaitu RM500 juta bagi Semenanjung dan masing-masing RM1 bilion bagi Sabah dan Sarawak.

“Ini bermakna ada RM500 juta untuk Sarawak pada 2018 dan RM500 juta lagi pada 2019, begitu juga Sabah.

“Sehubungan itu, kita akan meminta penjelasan sama ada peruntukan RM500 juta untuk Sarawak 2019 itu masih ada atau tidak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga merakamkan penghargaan di atas keprihatinan Kerajaan Pusat memberikan peruntukan RM4,346 juta kepada Sarawak dalam Bajet 2019 berbanding RM4,336 juta pada 2018.

Bagaimanapun, beliau berpandangan Sarawak berhak mendapat peruntukan sama rata kalau pun tidak lebih berbanding Sabah, berikutan saiz negeri Sarawak yang jauh lebih luas, selain keperluan rakyat di Sarawak khususnya di luar bandar.

“Sabah menerima RM5,009 juta dalam Bajet 2019 berbanding RM4,133 juta pada 2018.

“Bajet 2019 yang bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomik Dinamik, Rakyat Sejahtera’ juga menyaksikan peruntukan RM150 juta bagi menstabilkan bekalan dan menyeragamkan harga barangan keperluan asas terutama di Sabah dan Sarawak, dan kita amat berharap agar ia benar-benar memanfaatkan golongan sasaran di kedua-dua negeri itu,” katanya. — DayakDaily