Belanjawan 2019 kurang kesamarataan dalam pembangunan Sarawak

Lukanisman Awang Sauni

KUCHING, 2 Nov: Belanjawan 2019 kelihatan kurang memberi perhatian kepada rakyat Sarawak dan tidak menunjukkan kesamarataan dalam pembangunan wilayah di negara in.

Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni, berkata demikian dalam kenyataan medianya ketika memberi pandangannya terhadap belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Parlimen, hari ini.

“Saya sebagai ahli parlimen dari sarawak merasakan belanjawan 2019 adalah belanjawan yang tidak banyak memberi perhatian kepada rakyat sarawak dan tidak mendukung laungan kesamarataan dalam pembangunan wilayah,” katanya.

Lukanisman berkata beliau menantikan sesuatu yang baru atau tawaran unik khusus buat sarawak sekurangnya membetulkan cara kerajaan terdahulu melayani sarawak.

Namun isu sekolah daif, klinik daif, dan  kekurangan guru belum mendapat pembelaan sewajarnya dalam belanjawan itu.


“Walaupun kementerian pendidikan menerima peruntukan terbesar, kebanyakan dana yang disalurkan adalah penerusan dasar sebelum ini dan sedikit penambahbaikan. Saya kecewa peruntukan bagi sekolah daif tiada perincian khusus bagi wilayah Sarawak walaupun masalah sekolah daif adalah isu besar di Sarawak,” katanya.

Dari segi peruntukan kepada Sarawak juga, negeri Sabah dilihat ditambah sebanyak RM1 bilion manakala sarawak mendapat peruntukan hampir sama jumlah seperti Bajet 2018 dengan tambahan RM10 juta.

“Maka saya berpandangan kerajaan persekutuan tidak memahami keperluan Sarawak. Pembentangan bajet juga tidak memberi tawaran yang baru kepada rakyat Sarawak sebaliknya hanya penjenamaan semula bantuan sedia ada,” katanya.

Menurutnya, secara umum kerajaan persekutuan menegaskan akan berwibawa dalam berbelanja dan berjimat melalui pembatalan projek mega tetapi beliau masih tidak nampak semangat kesamarataan yang diperjuangkan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Perkara positif adalah pemulangan 50 peratus cukai pelancongan, penerusan Bantuan Sara Hidup yang sebelum ini dikenali BR1M adalah jalan populis yang mengulangi dasar kerajaan lepas. Saya bersyukur penerusan projek Pan Borneo dan berharap projek ini berjalan dengan lancar,” katanya.

Beliau sehubungan itu menyatakan kesedianya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan belanjawan 2019 bagi rakyat Sarawak. — DayakDaily