Tujuh sekeluarga terjejas, bilik sewa didiami terbakar

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

SIBU, 2 Nov: Tujuh sekeluarga terjejas apabila bilik sewa mereka terbakar dalam satu kejadian di Lorong Permai Timur 17, di sini hari ini.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira pukul 1.55 petang itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah, Alimat Sam, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.57 petang.

Katanya, sejurus itu, sepasukan tujuh anggota bomba telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

Kelihatan bilik sewa mangsa selepas kebakaran.

“Apabila tiba, komander operasi melaporkan kebakaran itu melibatkan sebuah bilik di tingkat bawah telah terbakar kira-kira 15 peratus. Pasukan bomba kemudian bertindak melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran dengan menggunakan sumber air daripada jentera pemadam,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alimat memberitahu kebakaran itu berjaya dikawal pada pukul 2.30 petang. Pemeriksaan lanjut mendapati tiada mangsa yang cedera dalam insiden berkenaan.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu,” ujarnya. — DayakDaily