Tempoh lima bulan untuk kementerian perbaiki prestasi — Fatimah

Fatimah (enam kiri) menerima cenderamata dari Pengarah JWKS Noriah Ahmad di program tersebut.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Julai: Pegawai-pegawai dalam Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak diberi tempoh lima bulan mulai sekarang untuk memperbaiki prestasi pengurusan.

Di dalam laporan Ketua Audit Negara (AG) tahun 2018 Sarawak, kementerian tersebut berada di tempat tercorot dalam pengurusan kewangan dengan markah 62.02 peratus.

Advertisement

Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata tempoh lima bulan itu adalah untuk memperbaiki semua kesilapan yang telah dikenalpasti di dalam laporan itu.

“Ambil teguran dari laporan audit ini dan jangan diulangi kesilapan yang telah dilakukan. Pegawai-pegawai kementerian harus belajar dari kesilapan dan terus mara ke hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Sumber: Jabatan Audit Negara

Terdahulu beliau merasmikan program Latihan Kepimpinan Wanita yang dianjurkan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) di salah sebuah hotel di sini.

Di samping itu, Fatimah telah mengarahkan semua ketua-ketua jabatan di dalam kementerian untuk menghadiri mesyuarat berhubung laporan tersebut.

“Saya melihat laporan audit ini sebagai sesuatu yang serius dan harus menjadi platfom untuk kementerian melakukan kerja-kerja pembaikan.

“Kita perbaiki dari segi pengurusan kewangan, pematuhan kepada arahan perbendaharaan, dari segi perolehan dan rekod aset,’katanya.

Di dalam Laporan AG 2018, kerajaan Sarawak merekodkan peningkatan dalam pengurusan kewangan dibanding dengan tahun sebelumnya.

Laporan yang dikeluarkan pada 15 Julai itu merangkumi 32 kementerian, agensi kerajaan dan agensi lain.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang mendahului senarai pengurusan cemerlang dengan markah 97.43 peratus bersama 24 yang lain dengan tujuh disenarai baik.

Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak satu-satunya berada di dalam senarai kurang memuaskan dengan markah 62.02 peratus. — DayakDaily

Advertisement