Telefon bimbit dipercayai milik mangsa disyaki bunuh ditemui dalam longkang

Pasukan polis dari D9 dan D10 sedang melakukan operasi mencari telefon bimbit.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Julai 23: Polis berjaya menemui seunit telefon bimbit dipercayai milik seorang tukang jahit yang disyaki mati dibunuh dan mayatnya disimpan dalam beg bagasi pada Jumaat lepas di sebuah longkang di Lorong Chawan 12, di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Denis Leong Soon Kuai berkata, telefon bimbit itu dijumpai oleh sepasukan anggota polis hasil maklumat diperoleh daripada dua suspek yang ditahan sebelum ini.


Jelasnya, buat masa ini pihaknya sedang mengumpul bahan kes dalam usaha menyelesaikan kes berkenaan.

“Ya…mangsa merupakan seorang tukang jahit,” katanya ringkas di sini hari ini.

Denis menambah, operasi pencarian telefon bimbit itu dilakukan oleh pasukan polis dari Bahagian D9 (Siasatan Khas) dan Bahagian D10 (Forensik)

Katanya, pasukan skuba dari unit polis marin juga terlibat dalam operasi berkenaan.

DayakDaily sebelum ini melaporkan misteri identiti lelaki yang ditemui mati di dalam sebuah beg bagasi di bawah jambatan Kampung Pangkalan Bau hampir pasti diketahui.

Mayat lelaki itu disyaki adalah pemilik salah sebuah kedai jahit pakaian di pusat bandar raya Kuching.

Namun belum ada pengesahan lagi daripada pihak berkuasa berhubung identiti mangsa setakat ini.

Pada Jumaat lepas, penduduk kampung di situ gempar selepas menemui sebuah beg bagasi dalam keadaan terapung dan mencurigakan kira-kira pukul 6 petang.

Apabila beg bagasi itu ditarik ke tebing sungai, didapati terdapat darah keluar dari beg tersebut.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — DayakDaily