BINTULU, Feb 23: Kira-kira 200 pekerja kilang di Taman Perindustrian Samalaju di sini hilang tempat tinggal selepas bilik pekerja yang didiami mereka terbakar dalam satu kejadian petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.59 petang itu, 30 daripada 50 bilik pekerja di kilang berkenaan musnah terbakar 100 peratus, manakala 20 bilik berjaya diselamatkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohd Meramit berkata, tiada sebarang laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden tersebut.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 6 petang.
“Sejurus itu, dua pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Samalaju dan Bintulu telah bergegas ke lokasi kejadian.
“Apabila tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar bilik pekerja kilang berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, pasukan bomba mengambil masa lebih sejam untuk mengawal kebakaran itu sepenuhnya.
“Buat masa ini, kita masih menyiasat punca kebakaran serta jumlah kerugian akibat kejadian tersebut,” ujarnya lagi. — DayakDaily